mutakhir

Terima kasih doakan Icha...

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“SAYA berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan mendoakan kesihatan anak serta memberi semangat kepada kami,” kata Nur Atekah Mohd Yusof, ibu Nur Falisya Mardina Fahme Ridzuan yang menghidap penyakit cystic hygroma iaitu gejala abnormal yang terjadi pada leher atau kepala bayi.

Menurut Nur Atekah, 23, dia terharu dan bersyukur apabila kisah anaknya berusia setahun sembilan bulan itu mendapat perhatian ramai yang menghulurkan sumbangan untuk membantu mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah, terima kasih semua untuk sumbangan dan doa yang diberikan. Kami sangat menghargainya dan ia membantu meringankan beban kami,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nur Atekah berkata, dia dimaklumkan anaknya yang lebih manja dipanggil Icha, akan masuk wad di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 21 Oktober ini dan mungkin pembedahan akan dijalankan pada 23 Oktober, namun ia bergantung kepada kekosongan Unit Rawatan Rapi (ICU)

Katanya, pembedahan juga akan mengambil masa lama serta berisiko dan Icha akan ditempatkan di ICU selepas itu, bagaimanapun mereka masih belum dimaklumkan mengenai kos pembedahan berkenaan.

“Kalau pernafasan Icha kurang baik mungkin leher dan perutnya akan ditebuk untuk membantu dia bernafas serta makan.

“Sebagai ibu saya takut mengenangkan semua itu tetapi kami tekad mahu Icha dibedah supaya dia dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat.

“Kami reda dan mengharapkan bantuan doa daripada orang ramai supaya urusan pembedahan Icha nanti berjalan lancar tanpa masalah serta kesan samping yang serius,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan leher kiri Nur Falisya Mardina membesar dan mengandungi cecair atau air bisa dalam badan yang sepatutnya keluar melalui najis namun, sebaliknya berkumpul di leher.

Berita berkaitan

'Buu, akit...'

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 3:04pm
d