mutakhir

Lombong emas haram 100 hektar ditemui

Oleh Mohd Rafi Mamat

UNIT Penguat kuasa (UPK) Pahang Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menyita seunit palong yang digunakan untuk mengasingkan emas dengan pasir di Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis kelmarin.

Selain itu turut disita masing-masing dua jengkaut serta lori mengangkut bahan galian untuk aktiviti melombong bijih emas secara haram di hutan simpan berkenaan.

Dalam operasi bersepadu itu, makmal pemprosesan emas, pam air dan dua unit enjin kuasa elektrik (generator) yang digunakan untuk melakukan kegiatan perlombongan tanpa lesen turut disita.

Pengarahnya Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, operasi dilakukan selepas pihak berkuasa negeri menerima aduan masyarakat yang mendakwa berlaku pencemaran air di Sungai Serau di sini sebelum ini.

Menurutnya, operasi diketuai Penolong Pengarah Kanan Penguat kuasa Pahang Barat Azmi Mohd Zaindi itu turut disertai lebih 40 penguat kuasa iaitu Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis; Pejabat Tanah dan Galian (PTG); Pejabat Daerah dan Tanah Lipis; Jabatan Alam Sekitar (JAS); Jabatan Parit dan Saliran (JPS) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang bergabung dan bergerak dalam satu kumpulan.

Katanya, pemeriksaan di Bukit Kenderak yang terletak dalam Hutan Simpan Ulu Jelai menemui kawasan lombong emas kira-kira 100 hektar milik pihak tertentu.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku kerana mereka tidak takut dengan peraturan dan undang-undang, mereka mencabar agensi penguat kuasa,” katanya hari ini.

Mohd Hizamri berkata, jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti melakukan apa juga kesalahan hutan dan tindakan tegas mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 akan dikenakan.

“Sebagai contoh bagi kesalahan mencuri balak dan bahan galian seperti emas ia menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri apabila pihak terbabit tidak membayar cukai.

“Operasi bersepadu dengan kerjasama agensi berkaitan akan terus dilakukan membabitkan semua kawasan tumpuan di negeri ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 4:58pm
d