mutakhir

Anak tunggal membanggakan ibu bapa OKU

Oleh Nazri Abu Bakar

CACAT penglihatan bukan halangan buat suami isteri, Shaari Arifin, 56, dan Fatimah Che Jaafar, 49, menghadiri konvokesyen anak tunggal mereka sempena Istiadat Konvokesyen ke-91 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka di Dewan Taming Sari, Lendu, Alor Gajah hari ini.

Malah, mereka teruja memegang skrol anak, Siti Salmah Salim, 22, bagi Diploma Pengurusan Perniagaan walaupun tidak dapat melihat namun tetap puas biar sekadar merasa.

Bagi Fatimah dia bangga dan gembira di atas kejayaan anak kandungnya itu meskipun serba kekurangan sepanjang membesarkannya namun mampu membuktikan dia boleh berjaya seperti orang lain.

Menurutnya, dia sentiasa memberi galakan, semangat, dorongan dan motivasi untuk anaknya itu berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.

“Saya tidak dapat melihat sejak berusia dua tahun akibat sakit. Apapun saya tetap reda dan bersyukur malah sentiasa berdoa zuriat saya ini memperoleh kejayaan dunia dan akhirat.

“Namun kejayaannya adalah atas usaha gigih dan ketekunannya untuk mengubah kehidupan,” katanya yang juga busker di Danau Kota dan Jalan Tuanku Abd Rahman, Kuala Lumpur.

Dia dan suami keluar dari rumah mereka di Setapak kira-kira 10 pagi hingga lewat malam mencari rezeki dengan aktiviti busking justeru sudah pasti dia gembira termasuk menerusi sokongan arwah suami dan pasangan (Shaari) yang memberi impak kejayaan terbabit.

Namun jauh di sudut hatinya dia terharu diberi penghormatan masuk ke dalam dewan mendengar panggilan nama anaknya bersama siswazah lain walaupun tidak dapat melihat.

Istiadat berkenaan disempurnakan Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim.

Hadir sama Rektor UiTM Melaka, Profesor Dr Abd Halim Mohd Noor.

Sementara itu, Siti Salmah berkata, kejayaan itu dihadiahkan kepada ibu, bapa tirinya dan arwah bapa kandung, Salim Ismail yang juga cacat penglihatan walaupun sudah meninggal dunia pada 2004 akibat strok dan darah tinggi.

“Mereka sentiasa memberi kekuatan kepada saya untuk terus melanjutkan pelajaran.

“Kini saya menyambung pelajaran peringkat ijazah dalam bidang perakaunan di UiTM Jalan Hang Tuah,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 5:47pm
d