mutakhir

Polis siasat graduan biadab

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS membuka kertas siasatan berhubung insiden membabitkan seorang graduan yang dikatakan berkelakuan biadab ketika menerima ijazah di pentas pada Sidang Kelima Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Kali Ke-59, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, satu laporan polis dibuat oleh Pegawai Keselamatan UM, 12.33 tengah malam tadi, berhubung insiden itu.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian membabitkan penuntut lelaki berusia 23 tahun yang mengeluarkan plakad tertera frasa ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sambil melaungkan perkataan itu serta menjerit ‘Ini Tanah Malaysia’ sejurus menerima skrol ijazahnya, 10 pagi kelmarin.

“Tindakannya itu dituju kepada pemimpin UM dan ahli akademik yang berada di atas pentas konvokesyen.

“Perbuatan penuntut terbabit melanggar protokol istiadat dan mengganggu prosiding konvokesyen yang mana siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mazlan berkata, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap sesiapa yang mengganggu gugat ketenteraman awam atau mencetuskan isu sentuh sensitiviti kaum serta agama.

“Polis juga menasihatkan orang ramai supaya menghormati perlembagaan dan undang-undang serta bersama mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi hotline polis Kuala Lumpur 03-2115999 atau balai polis berhampiran,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan UM sudah membuat laporan polis berhubung insiden membabitkan seorang graduannya yang dikatakan berkelakuan biadab ketika menerima ijazah di pentas pada Sidang Kelima Istiadat Konvokesyen UM Kali Ke-59.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, UM merujuk kepada tindakan graduan kejuruteraan awam yang mengeluar dan menayangkan plakad tertera frasa ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sambil melaungkan perkataan itu serta menjerit ‘Ini Tanah Malaysia’ sejurus menerima skrol ijazahnya.

“Pelakuan ditunjukkan dalam sebuah istiadat rasmi yang dibuka secara rasmi oleh Tuanku Canselor UM pada sidang pertama adalah biadap dan tidak dapat diterima sama sekali,” kata kenyataan itu.

Berita berkaitan

Nak protes boleh tapi tempat lain

UM lapor polis isu graduan biadab

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 6:19pm
d