mutakhir

49 kematian akibat denggi di Selangor

Oleh BERNAMA

SEBANYAK 49 kematian direkodkan daripada 57,980 kes denggi yang dicatatkan di seluruh Selangor dari Januari sehingga Sabtu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara kes denggi di negeri itu iaitu 77 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Bacaan sehingga minggu ke 41 tahun ini, kumulatif kes denggi di Selangor mencecah 57,980 mewakili 55 peratus daripada keseluruhan kes di Malaysia.

“Antara daerah yang mencatatkan kumulatif kes denggi tertinggi dalam tempoh sama adalah Petaling 21,858 kes, Hulu Langat (12,245 kes), Klang (10,698 kes) dan Gombak (7,497 kes),” katanya dalam satu sidang media di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti 122 titik panas wabak denggi di seluruh negeri itu meliputi 39 tempat di Petaling, Gombak (24), Hulu Langat (21) dan Klang (14).

Dr Siti Mariah mendakwa faktor utama mendorong kepada peningkatan kes denggi adalah disebabkan kepadatan penduduk yang terlalu tinggi di Selangor.

“Kepadatan penduduk di Selangor yang dianggarkan 6.52 juta orang ini mewakili 20 peratus kependudukan di seluruh Malaysia malah jumlah rakyat negeri ini yang sering berulang alik untuk bekerja di Kuala Lumpur turut dilihat menjadi punca kepada peningkatan kes denggi,” katanya.

Selain itu katanya, pertambahan jumlah warga asing di Selangor dengan keadaan kawasan kediaman mereka yang sering menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes juga menjadi penyumbang kepada peningkatan kes wabak itu.

Sehubungan itu, Dr Siti Mariah berkata, pihaknya sedang menggiatkan usaha bagi membanteras lokasi pembiakan nyamuk aedes di sekitar negeri dan antara sasarannya bangunan terbiar, pusat kitar semula haram, tapak binaan terbengkalai, kenderaan terbiar, kebun haram serta kawasan pembuangan sampah yang tidak terkawal.

“Saya juga ingin mengingatkan penduduk Selangor supaya menjalankan tanggungjawab bersama dengan memastikan tempat kediaman dan tempat kerja sentiasa bebas daripada pembiakan nyamuk ini.

“...tolong jangan letakkan tanggungjawab ini pada kami mahu pun Kementerian Kesihatan semata-mata,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 9:29pm
d