mutakhir

Siasatan gangguan sistem KLIA dibentang bulan ini

BERNAMA

HASIL siasatan berhubung kes gangguan rangkaian operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ogos lalu dijangka dibentangkan ke Kabinet akhir bulan ini, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT).

Kementerian itu dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen hari ini, memaklumkan hasil siasatan itu akan dibentangkan Jawatankuasa Peringkat Kementerian Pengangkutan yang dibentuk untuk menyiasat insiden itu.

Jawatankuasa itu dianggotai Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

“Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jika terdapat unsur khianat atau sabotaj.

“Tertakluk hasil siasatan itu, sebarang cadangan tindakan pendakwaan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” menurut kementerian itu.

Ia bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) yang ingin tahu hasil siasatan insiden itu dan apakah tindakan yang diambil terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pada 21 Ogos lalu, kegagalan sistem Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) di KLIA menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Sementara itu, jawapan kementerian turut menyebut bahawa hasil siasatan insiden berkenaan tidak boleh didedahkan memandangkan ia masih dalam siasatan dan sebarang tindakan terhadap MAHB akan hanya dipertimbangkan selepas siasatan dimuktamadkan.

“Walau apapun hasil siasatan kelak, ia tidak akan menjejaskan sebarang tindakan pengawalseliaan dan penguatkuasaan yang boleh diambil MAVCOM dan CAAM melalui peruntukan undang-undang sedia ada dalam Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 dan Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2016,” kata jawapan itu.

Sebagai langkah interim dan jangka panjang, MAHB juga akan menaiktaraf sistem sedia ada ke generasi kedua TAMS sebagai sebahagian inisiatif ‘Airport 4.0’ yang merangkumi beberapa aspek seperti Sistem Pengurusan Lapangan Terbang Pintar dengan penggunaan pengkomputeran autonomi untuk proses Autonomous Self Healing.

MAHB juga turut mengadakan pelaksanaan Internet of Things (IoT) menerusi algoritma Machine Learning (ML) dan Kecerdasan Buatan Sistem Pengurusan Lapangan Terbang untuk ramalan awal, pengagihan pintu secara automatik, menentukan trafik penumpang dan pengawalan secara terus semua infrastruktur yang akan memberi kesan kepada penjimatan kuasa elektrik.

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 10:05pm
d