mutakhir

11 rumah rosak dibadai ribut

Oleh Hasbi Sidek

SEBELAS rumah di Taman Desa Rhu dekat Sikamat di Seremban rosak selepas bumbungnya tercabut dalam kejadian hujan lebat dan ribut petang hari ini.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah bergegas ke lokasi bagi membantu memantau kejadian dan kediaman penduduk.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Seremban dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 5.50 petang.

Menurutnya, pemantauan di lokasi kemudiannya mengesan sebanyak 11 rumah terjejas dalam kejadian terbabit.

Bagaimanapun, katanya, tiada penduduk yang dipindahkan dan pusat pemindahan sementara (PPS) tidak dibuka.

“Kejadian terbabit juga tidak membabitkan kecederaan kepada penduduk.

“Kami ada menerima maklumat bahawa ada satu keluarga bermalam di inap desa sementara rumah mereka dibaiki.

“Kebajikan penduduk dipantau APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 10:40pm
d