mutakhir

Borong 10 kereta

Oleh Hasbi Sidek

Kesukaran mendapatkan alat ganti kenderaan sudah berusia menyebabkan seorang lelaki sanggup menempuh perjalanan 200 kilometer untuk menghadiri Majlis Lelongan Awam Kenderaan Sita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan di sini, semalam.

Pengusaha bengkel membaik pulih kereta dan lori lama dari Felda Jengka 7, Pahang, Hashim Harun, 54, berkata, kenderaan berusia umpama lubuk emas baginya kerana masih banyak digunakan hingga sekarang.

Katanya, ramai pelanggan ke bengkelnya namun alat ganti dikilangkan sekitar 1970-an dan 1980-an itu semakin sukar diperoleh di pasaran.

“Jadi melalui bidaan seperti ini saya membeli kereta sudah berusia yang tidak menarik ‘selera’ pembida lain. Kenderaan terbabit dibeli untuk mendapatkan alat ganti bagi memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.

Pada majlis itu Hashim memborong 10 kenderaan lama dengan harga keseluruhan bidaan mencecah RM40,000.

Katanya, dia pasti tidak melepaskan peluang untuk membida kenderaan sudah berusia setiap kali JPJ menganjurkan majlis lelongan bagi memastikan bekalan alat ganti di bengkelnya mencukupi.

“Saya ke majlis lelongan di seluruh negara termasuk di Perlis, malah saya antara pembida yang kerap mengangkat tangan ketika majlis itu berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan berkata, sebanyak 82 kenderaan dilelong pada majlis, semalam yang membabitkan 28 motosikal, 37 kereta, lima kenderaan pelbagai guna (MPV), lima van, satu jip, enam lori dan treler.

“Hasil lelongan kami mengutip RM362,325. Kenderaan dilelong dilucut hak melalui perintah mahkamah mengikut peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pembida yang berjaya akan memperoleh hak milik penuh ke atas kenderaan yang dimenangi dalam majlis ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 7:00am
d