mutakhir

Kedah gesa pantau penjualan vape

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KERAJAAN Kedah akan mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membuat pemantauan di premis jualan rokok elektronik atau vape di negeri ini bagi memastikan ia tidak dijual sewenang-wenangnya terutama kepada pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, setiap PBT perlu menyalurkan maklumat berhubung premis terbabit bagi memudahkan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa.

Katanya pemantauan itu perlu dilakukan kerana dibimbangi ada pihak tidak bertanggungjawab mencampurkan cecair vape dengan bahan terlarang sehingga menyebabkan kematian seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Pihak saya difahamkan, vape kini boleh dibeli dengan harga yang lebih murah, jadi setiap orang termasuk pelajar boleh membelinya, kita melihat ini sesuatu yang serius dan membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan ketagihan, apatah lagi apabila tidak ada kawalan.

“Bila tidak ada kawalan anak kita rasa senang terbabit dan sebab itu kita akan melihat perkara ini secara menyeluruh termasuklah meminta PBT memberi maklumat kepada kita dan memantau penjualan vape ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan serta menyampaikan bantuan kepada pesakit strok, Wan Nordin Wan Husin, 53 di Taman Bersatu di Alor Setar, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur berkata, pihaknya turut akan mempergiatkan kempen kesedaran kepada orang ramai berikutan vape juga boleh memudaratkan kesihatan pengguna seperti rokok.

Katanya, kerajaan negeri akan senada dengan kerajaan pusat sekiranya melihat ada keperluan untuk kuatkuasakan larangan sepenuhnya penggunaan vape.

“Vape ni bahaya macam rokok, jadi kita akan giatkan kempen supaya anak kita dan keluarga menyedari bahaya vape, kita tidak mahu bermula dengan vape mereka kemudiannya akan terjebak dengan dadah,” katanya.

Isnin lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat berkata, kerajaan telah mewujudkan satu jawatankuasa kerja pakar di bawah Kementerian Kesihatan bagi mengkaji kemungkinan larangan secara menyeluruh terhadap penggunaan rokok elektronik dan vape yang dipengerusikan timbalannya Dr Lee Boon Chye.

Jawatankuasa itu diwujudkan susulan peningkatan kes kematian pengguna vape dan rokok elektronik, iaitu seramai 28 orang di Amerika Syarikat (AS) dan seorang di United Kingdom (UK).

Pada Julai lalu, Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya akan menggubal satu akta baharu bagi mengawal selia penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha.

Akta yang dinamakan Akta Tembakau itu dijangka dapat menangani pemasalahan itu secara keseluruhan.

Sebelum ini, banyak pihak, termasuk Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas dan bersepadu bagi mengatasi isu penularan gejala menghisap vape dan rokok elektronik di kalangan pelajar.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 11:00am
d