mutakhir

Polis rampas 'jus' khayal [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

KISAR dadah untuk dijadikan serbuk sebelum dicampur dan dibungkus menjadi pelbagai jenis minuman segera termasuk jus buah-buahan, coklat, minuman tiga dalam satu (3 in 1) dan teh antara modus operandi yang dikesan dilakukan sindiket pengedaran dadah di Ipoh.

Tindakan licik sindiket terbabit bagaimanapun berjaya dihidu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak yang membuat serbuan dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM753,295 di Kampung Simee, Ipoh Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Perak di rumah kedai di kawasan berkenaan kira-kira 2 pagi.

Menurutnya, hasil serbuan polis menahan lelaki berusia 24 tahun dan merampas pelbagai campuran dadah dalam paket minuman segera dengan anggaran berat 15.074 kilogram (kg), 50 biji pil ecstasy, ketamin seberat 11 gram dan cecair disyaki campuran dadah sebanyak 2.77 liter.

“Serbuan dijalankan di rumah kedai dua tingkat dan pemeriksaan menemui dadah berkenaan di tingkat atas kediaman yang disewa lelaki yang juga pemandu e-hailing itu.

“Turut dirampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan suspek untuk membungkus dadah termasuk pengisar, penimbang digital serta pelbagai paket bungkusan minuman segera,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Hong Shuan berkata, turut disita bersama suspek adalah sebuah kereta Toyota Vios yang dianggarkan bernilai RM45,000 dan semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes Sekyen 420 Kanun Keseksaan iaitu penipuan.

Katanya, polis percaya dadah yang diproses untuk menjadi minuman segera itu diedarkan di pusat hiburan sekitar bandar raya ini dan boleh dibekalkan kepada 5,000 penagih.

“Polis percaya kegiatan ini dijalankan oleh sindiket tertentu yang aktif sejak kira-kira sebulan lalu dengan mengisar pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ecstasy dan ketamin sebelum dicampurkan dengan pelbagai jenis minuman segera dan jus untuk dijual di pusat hiburan dengan harga RM250 hingga RM300 bagi setiap paket atau botol minuman.

“Suspek yang turut positif dadah itu kini direman selama tujuh hari bermula Rabu lalu hingga 22 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Menurutnya, modus operandi sindiket ini sudah sering dikesan dan diberkas polis, namun mereka sering menukar jenis atau bungkusan minuman apabila sesuatu jenama atau bungkusan itu sudah diketahui polis.

“Rampasan dadah menggunakan modus operandi ini adalah yang terbesar berjaya ditumpaskan JSJN Perak tahun ini dan polis mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat untuk membolehkan pembanterasan berterusan kegiatan dadah,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 12:09pm
d