mutakhir

Kulit rapuh, mudah luka

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BERAT mata memandang berat lagi bahu memikul. Itulah yang dialami oleh Muhamad Amiruddin Md Redzuan yang disahkan menghidap penyakit Epidermolysis Bullosa (EB) atau kulit rapuh sejak lahir.

Penyakit yang dikatakan belum ada penawarnya itu menyebabkan kulit Muhamad Amiruddin, 6, mudah luka. Melihat keadaannya cukup menyedihkan apabila parut luka memenuhi seluruh badannya.

Biarpun begitu, anak ketiga daripada empat beradik itu tetap aktif bermain seperti kanak-kanak lain sehingga sering ditegur ibunya Siti Nur Arfa Abdullah, 28.

Siti Nur Arfa berkata, penyakit itu mula dikesan di bahagian kaki anaknya sejak lahir sebelum merebak ke seluruh badan.

“Muhamad Amiruddin memerlukan penjagaan yang cukup rapi. Kalau nak sentuh badannya, perlu berhati-hati kerana mudah luka. Malah apabila mandi pun tidak boleh menggunakan sabun.

“Bagaimanapun, dia seorang anak yang aktif tapi sering mengalami luka. Setiap hari saya perlu sapu ubat antibiotik untuk mengelakkan jangkitan kuman.

“Saya juga perlu berulang alik ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu setiap bulan untuk pemeriksaan dan mengambil bekalan ubat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Demit, Kota Bharu, semalam.

Menurutnya, pada awal tahun ini, dia mendapat tawaran daripada seorang individu untuk anaknya menjalani rawatan di sebuah hospital di Singapura secara percuma.

“Saya dimaklumkan Muhamad Amiruddin perlu menjalani 11 rawatan di sana. Bagaimanapun dengan berat hati saya terpaksa tolak kerana tidak mampu untuk mengupah orang menjaga tiga lagi anak berusia tiga hingga 10 tahun,” katanya.

Siti Nur Arfa berkata, sejak kematian suaminya pada tahun 2017 akibat serangan jantung, dia terpaksa menggalas tanggungjawab menyara keluarga.

“Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah RM30 sehari. Mujurlah, saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan yang digunakan untuk persekolahan anak.

“Rumah ini pun, saya dapat duduk atas ihsan anak saudara arwah suami. Biarpun kurang selesa, saya bersyukur kerana masih memiliki tempat berteduh,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun Bank Simpanan Nasional 0300341000170464.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 1:45pm
d