mutakhir

Gesa kerajaan bantu pemandu teksi

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SEKRETARIAT Pemandu-Pemandu Teksi Individu Malaysia menggesa kerajaan menubuhkan satu konsortium menggabungkan semua syarikat teksi bagi menyelaras peraturan kepada pemandu dan industri pengangkutan awam itu.

Pengerusinya Abu Bakar Mohamed berkata, menerusi cara itu nasib 30,000 pemandu teksi akan lebih terbela selain akan lebih fokus dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

Selain itu katanya, pemandu teksi juga memerlukan kesatuan untuk memberi latihan agar mereka dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan setanding negara lain di dunia.

“Banyak isu pemandu teksi yang belum selesai. Antaranya ialah bayaran dikenakan syarikat selepas tempoh sewa beli tamat yang membebankan pemandu teksi.

“Kita juga mahukan sistem penguatkuasaan agensi berwajib iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga mengambil kira penyertaan semua pihak di dalam makmal penggubalan dasar supaya pandangan menyeluruh dapat didengari,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, Kuala Lumpur.

Abu Bakar berkata, untuk itu pihaknya sudah menghantar memorandum kepada pejabat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Istana Negara untuk pertimbangan kerajaan memandangkan isu ini sudah berlarutan sekian lama.

Menurutnya, sistem permit yang membebankan juga antara isu yang perlu diberi perhatian kerana kadar yang tidak selaras oleh setiap syarikat.

“Permit diperoleh syarikat ialah pada kadar RM50 setahun. Katakan habis kontrak lima tahun, jika kita nak sambung pakai teksi itu, kena bayar caj RM50 hingga RM90 sehari. Sedangkan kos dibayar kepada kerajaan cuma RM50 setahun.

“Jadi bagaimana kami hendak bersaing dengan e-hailing sedangkan kami terikat dengan pelbagai syarat. Tetapi masyarakat pula menghukum kami dengan pelbagai isu, sikap, keadaan teksi, harga tambang dan lain-lain, sedangkan kerajaan tidak mengetahui situasi sebenar kami,” katanya.

Justeru katanya, pihaknya mencadangkan supaya satu peraturan agar syarikat menyerahkan permit kepada pemandu selepas tamat kontrak tanpa dikenakan sebarang caj bagi membolehkan mereka mencari pendapatan dengan memandu teksi.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 2:54pm
d