mutakhir

Pancitkan tayar sebelum samun

Oleh Shamsul Munir Safini

PENJENAYAH kini dikesan menggunakan taktik memancitkan tayar kenderaan di kawasan parkir sebelum menyamun atau memeras ugut mangsa mereka.

Difahamkan, penjenayah menggunakan taktik itu bertujuan memaksa pemandu kereta berhenti di tepi jalan ekoran kerosakan pada tayar.

Penjenayah yang mengekori kereta itu kemudian menyamun atau memeras ugut mangsa yang kebanyakannya bersendirian.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari kelmarin, seorang lelaki menyedari taktik itu selepas melihat objek tajam seperti paku diletakkan di belakang tayar keretanya diparkir di sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya.

Berdasarkan keterangan gambar dimuat naik ke sebuah portal itu, mangsa menunjukkan objek kayu bulat ditebuk besi tajam seakan-akan paku diletakkan di lantai parkir belakang tayar keretanya.

Individu dikenali sebagai Amir Zahid itu berkata, orang ramai dinasihatkan berhati-hati menggunakan kawasan parkir tingkat bawah di pusat beli-belah berkenaan.

Katanya, seorang lelaki ternampak dua individu meletakkan objek tajam itu di tayar belakang kereta dan sempat menghalangnya daripada mengundur.

Susulan kejadian, satu laporan dibuat di balai polis berhampiran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, satu laporan polis dibuat pada 1.30 tengah hari berhubung kes itu.

“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti suspek dan akan meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan untuk pencegahan.

“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika berada di tempat lengang supaya tidak menjadi mangsa penjenayah,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 3:37pm
d