mutakhir

'Halalkan ilmu diberikan kepada arwah anak saya'

Oleh Nazri Abu Bakar

“WALAUPUN sedih tapi saya puas dan gembira selepas melafazkan permohonan halalkan ilmu yang diberikan pensyarah kepada Allahyarhamah anak saya,” kata Mazlan Mat Jadi, 55, selepas menerima skrol anak bongsunya sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Lendu, Melaka, hari ini.

Dia yang sebak ketika naik ke pentas menerima skrol daripada Naib Canselor UiTM Profesor Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim, mengakui pada mula berat hati untuk hadir berikutan terlalu sedih dengan kehilangan Allahyarham Aina Fatin Najwa Mazlan, 20, akibat denggi berdarah.

Katanya, dia hadir ke istiadat konvokesyen terbabit bersama isteri, Norazian Ahmad, 53.

“Setiap laluan, selekoh dan pekan di Lendu ini adalah kenangan buat kami berikutan ia adalah perjalanan biasa kami menghantar arwah dari Tanjung Agas, Muar, Johor.

“Apapun kami reda dengan ketentuan Allah SWT dan kami tetap hadir untuk memohon halal setiap ilmu yang diberikan pensyarah serta semua yang terbabit sehingga anak kami berjaya menerima diploma,” katanya sayu.

Kata Mazlan, anak bongsu dari tiga adik beradik itu seperti tahu pemergiannya apabila dia sempat memberitahu rakan-rakannya yang dia tidak sempat menghadiri konvokesyen berkenaan.

Difahamkan, Allahyarhamah Aina Fatin Najwa menghembuskan nafas terakhir pada 1 November 2018, hanya selepas empat hari dimasukkan ke hospital.

Allahyarhamah Aina Fatin Najwa adalah seorang daripada 2,360 graduan menerima ijazah pertama dan diploma sempena istadat konvokesyen selama tiga hari berakhir hari ini.

Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-91 UiTM Cawangan Melaka ini adalah kali ke-11 diadakan selepas genap 36 tahun kewujudan UiTM di negeri terbabit.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 4:41pm
d