mutakhir

'Bantu kami cari Ahmad'

Oleh Norizuan Shamsuddin

“SUDAH empat hari dia (adik) hilang dan kami sekeluarga sudah berusaha mencarinya, tetapi sehingga kini gagal ditemui,” kata Nor Atikah Anang@Idris, 45.

Adik bongsunya, Ahmad Naziruddin, 32, yang juga orang kurang upaya (OKU) gagal dikesan selepas keluar dari kediaman keluarga di Kampung Jabor Kubur, Chukai, Isnin lalu.

Perkara terbabit membuatkan Atiqah dan ahli keluarga bimbang mengenai keselamatan adiknya selepas usaha mencarinya sehingga kini tidak berhasil.

Nor Atikah berkata, adik bongsu daripada 14 beradik itu mempunyai masalah terencat akal sejak dilahirkan didapati keluar untuk bersiar-siar di kawasan sekitar rumah berkenaan.

“Bagaimanapun, dia tidak pulang ke rumah dan kami mencari di kawasan sekitar rumah serta pusat bandar, tetapi gagal menemuinya.

“Ini kali ketiga dia menghilangkan diri. Kejadian pertama berlaku tiga tahun lalu apabila adik hilang selama sebulan dan kami menemuinya di Sungai Petani, Kedah.

“Manakala kejadian kedua berlaku dua bulan lalu apabila dia hilang selama sehari dan kami menemuinya di Dungun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Atikah berkata, mereka tidak dapat menghalang Ahmad daripada keluar rumah kerana dia keras kepala dan suka memberontak sekiranya dikurung.

“Kalau halang pun dia akan mencari jalan untuk keluar rumah. Biasa dia keluar sekejap saja dan akan pulang sendiri.

“Kejadian menyebabkan ibu, Fatimah Mamat, 74, risau mengenai keselamatan adik sehingga dia tidak selera untuk makan.

“Malah, ibu turut sama keluar mencari adik bersama ahli keluarga lain,” katanya.

Menurutnya, ahli keluarganya sudah membuat laporan di Balai Polis Paka, Dungun, hari ini bagi mengesan Ahmad.

Katanya, pihaknya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat Ahmad dapat memaklumkan kepada ahli keluarganya.

“Orang ramai boleh menghubungi saya di 010-9297405 (Nor Atikah) atau ibu saya 019-9210781 (Fatimah) untuk menyalurkan maklumat berhubung adik,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 5:34pm
d