mutakhir

'Nanti polis trafik kena terbang sekali' - PM

Oleh Yusmizal Dolah Aling

NEGARA belum bersedia menggunakan kereta terbang sebagai satu sistem pengangkutan negara.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia akan memiliki kereta terbang satu hari nanti, tetapi bukan sekarang.

Menurutnya, ia akan menimbulkan masalah lain jika semua orang memiliki kereta terbang.

“Kita boleh gunakan dron dan ia juga boleh bawa benda berat dan lebih selamat.

“Ramai bercakap mengenai kereta terbang. Bayangkan jika semua orang ada kereta terbang, nanti sesak pula di udara dan polis trafik pun kena terbang sekali,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mengenai kereta terbang kedua negara menggunakan teknologi yang berbeza daripada kereta terbang pertama akan membuat penerbangan pertamanya tahun depan.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, prototaip pertama kereta terbang negara akan dilancarkan awal bulan ini.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 7:08pm
d