mutakhir

Kena dakwa lagi [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

Pengerusi dan pengetua sebuah maahad tahfiz di daerah ini sekali lagi didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah wang pelajar untuk melanjutkan pengajian ke Turki sebanyak RM43,600.

Kedua-dua tertuduh yang juga pasangan suami isteri, Ahmad Shukri Ghazali, 47, dan Zunairah Awang, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail, Roslizi Sulaiman dan Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Ahmad Shukri dan Zunairah didakwa secara bersama-sama menyalahgunakan wang pembayaran pembelajaran milik dua pelajar sebanyak RM34,000.

Perbuatan itu dilakukan pada 14 November 2018 hingga 19 Februari tahun ini di dua bank berasingan di Klang.

Bagi pertuduhan ketiga, Ahmad Shukri seorang diri didakwa menyalahgunakan wang milik seorang pelajar berjumlah RM9,600 bagi tujuan peribadi yang sepatutnya digunakan untuk membeli tiket penerbangan ke Turki.

Ahmad Shukri didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di antara 26 dan 27 Januari tahun ini.

Bagi semua pertuduhan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 403, Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda serta sebatan.

Sementara itu, peguam kedua-dua tertuduh, Nor Azri Mohd Arif memohon jumlah jaminan antara RM3,000 hingga RM4,000 bagi setiap pertuduhan anak guamnya.

Katanya, Zunairah juga kini sedang hamil anak kelapan dan bakal melahirkan cahaya mata pada bulan depan.

Ketiga-tiga majistret kemudiannya menetapkan Ahmad Shukri dan Zunairah dikenakan jaminan, masing-masing RM9,500 dan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen ditetapkan pada 20 November depan.

Bulan lalu, pasangan terbabit mengaku tidak bersalah di mahkamah sama selepas didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah wang pelajar untuk melanjutkan pengajian ke Turki sebanyak RM50,600 dan dikenakan jaminan sebanyak RM18,000 setiap seorang.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 7:15am
d