mutakhir

Ingat polis tak boleh pecahkan pintu ke?

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SEORANG lelaki bertindak mengunci dan berkurung dalam bilik di rumahnya bagi mengelak ditahan polis di Kampung Lormalong, Kunak, tengah malam tadi.

Bagaimanapun, tindakan itu hanya sia-sia apabila polis berjaya mengesan sebelum memecahkan pintu lalu menahan suspek.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir berkata, serbuan Ops Tapis jam 12.15 tengah malam pada awalnya mendapati rumah didiami suspek didapati tiada penghuni.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati salah satu bilik rumah berkenaan dalam keadaan berkunci.

“Anggota polis kemudian memperkenalkan diri sebelum mengarahkan supaya pintu bilik dibuka, namun tiada sebarang reaksi.

“Polis terpaksa bertindak memecahkan pintu bilik sebelum menemui suspek berusia 29 tahun bersembunyi di dalam bilik,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Baharin menjelaskan, pemeriksaan dalam bilik menjumpai satu beg silang jenama ‘DC’ di atas tilam.

Menurutnya, sebaik diperiksa mendapati satu paket plastik bersaiz sederhana berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.2 gram dianggarkan bernilai RM780.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Kunak untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 10:23am
d