mutakhir

Sorok dadah dalam durian [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

WANITA tempatan ditahan selepas cuba menyeludup keluar dadah jenis heroin seberat 6.13 kilogram bernilai RM953,529 yang disembunyikan di dalam durian di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Isnin lalu.

Penolong Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Datuk Zulkarnain Mohamed Yusuf berkata, sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Unit II (Selangor) Zon Tengah membuat serbuan di syarikat kargo, 6.15 petang.

“Pemeriksaan pegawai bertugas bersama wakil ejen penghantaran serta wakil syarikat kargo berkenaan membuat pemeriksaan terhadap 20 kotak styrofoam diikrar untuk dieksport ke Hong Kong.

“Hasil pemeriksaan itu, kami mendapati semua kotak berkenaan mengandungi durian yang disejuk beku dan dibungkus dengan kertas. Sebaik dibuka, empat daripada 20 kotak terbabit mengandungi ketulan mampat berwarna putih disyaki dadah jenis heroin yang dibalut dengan plastik lut sinar di dalam buah berkenaan.

“Berikutan penemuan itu, kami menahan wanita berusia 34 tahun yang menguruskan penghantaran barang berkenaan,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Kuala Kumpur di Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

Zulkurnain berkata, hasil pemeriksaan menggunakan alat pengesan dadah, pihaknya menemui 178 ketulan mampat berwarna putih seberat 6.13 kilogram bernilai RM953,529 disyaki dadah jenis heroin.

“Sindiket ini mengaburi mata pihak berkuasa dengan membuat pengikraran palsu sebagai durian segar atau ‘Fresh Fruits Durian untuk dieksport ke Hong Kong.

“Wanita itu kini direman selama lima hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau menyeru kepada orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyeludupan barangan seperti rokok, minuman keras, dadah dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di talian 1 800 88 8855.

“Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang aduan awam kami iaitu http://aduan.customs.gov.my atau tampil di pejabat JKDM berhampiran.

“Kami memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 12:28pm
d