mutakhir

Hampir dua jam Najib beri keterangan [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berhubung satu hantaran di akaun Facebook (FB) miliknya.

Najib memberi keterangan satu jam 40 minit ditemani peguamnya di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Najib ketika ditemui berkata, dia hadir bagi memberi keterangan sebagai saksi berhubung kes memuatnaik hantaran diatas nama Nga Kor Ming Superfam.

“Saya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis. Selepas ini saya menyerahkan kepada pihak polis untuk menilai dan membuat keputusan selanjutnya.

“Pihak polis hanya tanya mengenai hantaran itu dan apa tujuan saya buat hantaran serta tanggapan saya dengan hantaran berkenaan. Lain-lain saya tidak boleh nyatakan sebab masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Siasatan berhubung kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memfitnah,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming sebelum ini menggesa polis menyiasat FB ‘Najib Razak’ susulan hantaran berbaur fitnah ke atasnya yang dimuat naik pada 30 September lalu.

Ia berkaitan isu penghinaan terhadap Sultan Selangor membabitkan tanda jalan, dimuat naik dalam FB ‘Nga Kor Ming Super Fans’.

Kor Ming menganggap tindakan Najib itu sebagai cubaan merosakkan namanya serta menghasut rakyat membencinya serta parti.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 1:31pm
d