mutakhir

Rokok kretek RM1.92 juta dalam lori

Oleh BERNAMA

PASUKAN Gerakan Am (PGA) Sarawak menahan lelaki warga tempatan yang disyaki cuba menyeludup rokok kretek bernilai RM1.92 juta.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Datuk Khaw Kok Chin berkata, lelaki berusia 54 tahun itu berjaya ditahan di kawasan Perindustrian Muara Tabuan, Kuching pada 3.45 petang semalam.

“PGA membuat pemantauan di sempadan Bau dan Serikin dan bertindak mengekori lori dipandu lelaki tersebut sehingga ke kawasan perindustrian berkenaan sebelum menahannya.

“Semasa ditahan suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen sah yang berkaitan, dan hasil pemeriksaan lanjut menemui 8,000 karton rokok jenis kretek di dalam lori terbabit,” katanya kepada sidang media di Kuching, hari ini.

Khaw berkata, berdasarkan risikan yang dibuat, rokok berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran, disimpan di dalam kargo di kawasan perindustrian terbabit, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan seperti di Sibu, Miri dan Bintulu.

“Lelaki ini kita percaya hanya pemandu, di belakangnya adalah satu sindiket, kita juga percaya dalam satu bulan, banyak trip seumpamanya dibuat sindiket ini.

“Kita percaya memang sindiket ini beroperasi secara berleluasa, pihak kita sentiasa ketatkan kawalan di sempadan, memang kita akan ikut mereka dan sampai masa kita serbu,” katanya.

Turut dirampas lori tiga tan yang digunakan untuk menyeludup rokok-rokok tersebut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika disabit kesalahan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sepanjang tahun ini sehingga semalam, PGA Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis rokok, arak dan balak yang cuba diseludup bernilai RM30.66 juta.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 6:24pm
d