mutakhir

Samsengnya kamu...

Oleh Ibrahim Isa

PEMANDU lori berlagak samseng apabila melanggar, memecahkan cermin kereta sebelum melarikan telefon bimbit seorang pemilik kedai barangan lusuh di laluan kecemasan Lebuhraya Linkedua menuju Singapura di Iskandar Puteri pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa yang juga seorang lelaki berusia 39 dalam perjalanan ke kedainya di republik berkenaan ketika kejadian dan memandu di laluan kecemasan kira-kira 8 pagi.

“Tiba-tiba, sebuah lori memasuki laluan sama dan melanggar kereta BMW 530i milik mangsa sebelum pemandu lori itu keluar dari kenderaannya.

“Mangsa bertanya mengapa suspek melanggar keretanya sebelum pemandu lori itu memberi alasan pengadu memasuki laluan yang digunakannya.

“Bagaimanapun, mangsa mempertikaikan sekiranya dia bersalah kenapa tidak membunyikan hon dan kemudiannya meminta suspek pergi ke balai polis berhampiran.

“Suspek yang berang, tiba-tiba mengambil satu objek yang masih belum dapat dipastikan dan memecahkan cermin penumpang belakang kiri kereta mangsa serta memukul pintu kereta pengadu menggunakan objek sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pada masa sama mangsa merakam perbuatan suspek itu dan menyebabkan pemandu lori terbabit merampas telefon bimbit dan cuba memukulnya sebelum dia berjaya memujuk lelaki terbabit supaya bersabar.

Katanya, suspek kemudiannya menaiki lorinya dan meninggalkan mangsa serta melarikan telefon bimbit mangsa.

“Apabila tiba di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Tuas, Singapura, mangsa meminta bantuan pihak berkuasa republik itu untuk melakukan pemeriksaan tetapi gagal menemui telefon bimbitnya.

“Berikutan itu, mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk membuat laporan dan kami masih menyiasat dakwaannya.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan anggaran kerosakan keretanya adalah kira-kira RM7,000 dengan nilai telefon bimbit pula RM1,000,” katanya.

Menurutnya, buat masa ini masih belum ada sebarang tangkapan dilakukan dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat tampil bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 392/397 kanun sama kerana melakukan rompakan bersenjata.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 6:47pm
d