mutakhir

'Nasib baik semua murid sudah balik' [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

TIGA pekerja kantin Sekolah Kebangsaan (SK) Siol Kanan, Petra Jaya menempuh detik cemas apabila bumbung bangunan itu runtuh, hari ini.

Seorang daripada pekerja terbabit, Hijrah Samawi, 36, berkata, ketika kejadian 12.50 tengah hari itu mereka sedang melakukan kerja di luar bangunan itu.

“Pada mulanya saya dengar bunyi kayu patah kemudian disusuli bunyi runtuhan yang sangat kuat.

“Sebaik meninjau ke arah bunyi itu, kami tergamam seketika melihat bumbung sudah runtuh,” katanya.

Hijrah berkata, bangunan kantin itu tidak mempunyai dinding dan sering menjadi tempat murid berkumpul dan bermain.

Malah katanya, bangunan terbuka itu juga dijadikan sebagai tempat perhimpunan kerana sekolah berkenaan tidak mempunyai dewan.

“Sejak lebih sebulan lalu, kawasan itu ditutup kerana pihak sekolah mengesan struktur bumbung yang tidak selamat.

“Nasib baik ketika kejadian, semua murid sudah balik kerana waktu persekolahan pada hari Jumaat berakhir pada 11.30 pagi,” katanya.

Bapa murid, Ahmad Khaidir Mohamad, 34, pula bersyukur kerana ketika kejadian itu tiada murid berada di sekolah.

“Apa yang saya selalu nampak, kawasan kantin itu sering menjadi tempat murid bermain dan saya tak dapat bayangkan jika kejadian itu berlaku ketika ada murid berada di sana,” katanya.

Ahmad Khaidir yang juga guru seni binaan di Kolej Komuniti Kuching berkata, berdasarkan pemerhatiannya, struktur kerangka bumbung bangunan itu tidak kukuh dan ia dipercayai punca kejadian itu.

Sementara itu, Penolong Jurutera di Pejabat Pendidikan Daerah Kuching, Mohd Ariff Adnan berkata, pihak sekolah sudah membuat laporan pada awal bulan ini berhubung keadaan bumbung bangunan itu dikesan tidak selamat.

Malah katanya, sekeliling kantin itu juga sudah dipasang pita amaran bagi menghalang murid serta kakitangan memasuki kawasan itu.

“Pemeriksaan sudah dilakukan selepas menerima laporan daripada pihak sekolah awal bulan ini.

“Memang keadaan bumbung bangunan itu berisiko, sebab itu kawasan itu diarah tutup,” katanya.

Sekolah terbabit mempunyai 875 murid dan diifahamkan, banguan kantin berkenaan dibina pada 2003.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 9:39pm
d