mutakhir

AADK Selangor tahan 242 penagih dadah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

OPERASI Perdana yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor di tujuh daerah sejak 13 Oktober lalu hingga hari ini menahan 242 penagih dadah.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Selangor Mohd Firdaus Abu Bakar berkata, dalam Operasi Perdana Siri 3 yang dijalankan pada 13 Oktober lalu, seramai 85 penagih dadah termasuk empat wanita ditahan di Sungai Besar, Gugusan FELDA Hulu Selangor dan Petaling Jaya Selatan.

“Bagi operasi siri empat yang dijalankan di sekitar Hulu Langat, Ampang, Klang dan Gombak pada 16 Oktober hingga hari ini pula, seramai 157 individu termasuk lapan wanita ditahan.

“Mereka yang ditahan itu berusia antara 13 tahun hingga 40-an dan didapati positif pelbagai jenis dadah seperti morfin, methaphetamine dan ganja,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Firdaus berkata, semua individu terbabit ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Operasi itu bertujuan untuk membanteras dan mengambil tindakan terhadap aktiviti penagihan serta pengedaran dadah di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi.

“Tindakan melalui penguatkuasaan undang-undang dikenakan terhadap individu terbabit dalam penyalahgunaan dadah bagi membolehkan AADK menangani isu dadah daripada terus menular,” katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 11:43pm
d