mutakhir

Sauk gerahak 8.6kg

Oleh Roselan Ab Malek

“Selepas sejam mencandik, saya putus asa kerana tidak mendapat seekor ikan pun dan apabila mahu menarik candik saya terasa berat seperti ada sesuatu tersangkut.

“Sebaik menariknya ke tebing sungai, saya terkejut melihat seekor ikan gerahak dengan kulit berkilat seberat 8.6 kilogram (kg) tersangkut pada candik saya,” kata nelayan sungai, Hafiz Sudin, 28.

Dia berjaya menaikkan ikan itu di Sungai Pahang malam semalam menggunakan kaedah candik iaitu sauk gergasi yang diperbuat daripada buluh dan jaring yang biasa digunakar untuk menangkap ikan bersaiz besar.

Katanya, kebiasaannya apabila selepas hujan, arus sungai akan menjadi deras serta besar dan menangkap ikan menggunakan candik adalah kaedah paling sesuai.

“Saya mencandik dari tebing sungai di kawasan berumput kerana selalunya apabila arus deras, ikan suka mendiami kawasan berkenaan.

“Mungkin sudah rezeki, saya berjaya menangkap ikan ini walaupun pada mulanya saya mahu pulang sahaja ke rumah selepas sejam berada di sungai,” katanya di sini, semalam.

Katanya, agak sukar untuk menemui ikan gerahak bersaiz besar masa kini kerana biasanya ikan yang berjaya ditangkap hanya seberat satu hingga tiga kg sahaja.

“Walaupun ikan ini bersaiz besar dengan panjangnya lebih satu meter namun ia tidak terlalu berat kerana badannya nipis dan runcing di bahagian ekor.

“Ikan ini menjadi rebutan penggemar ikan sungai selain patin dan jelawat kerana isinya lembut walaupun banyak tulang,” katanya yang tinggal di Kampung Rumpun Makmur, di sini.

Hafiz berkata, dia menjual ikan itu kepada penduduk kampung dengan harga RM60 sekg dan dalam setengah jam sahaja ia habis dijual.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 6:45am
d