mutakhir

'Bukan main tangkap semberono je' - KPN

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PENAHANAN 12 individu dikaitkan dengan kumpulan pengganas LTTE tidak berunsurkan politik dan kaum, malah bukan dibuat secara semberono tetapi turut mendapat pandangan Jabatan Peguam Negara bersama bukti kukuh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman konsisten dengan tindakan diambil berdasarkan semua bentuk ancaman.

“Apabila mempunyai bukti, kita berinteraksi dengan Peguam Negara sama ada dengan bukti itu boleh ambil tindakan atau tidak.

“Kes LTTE sudah disiasat sejak November tahun lalu, lepas disiasat akhirnya Bahagian Anti Pengganas (E8) dapat bukti dicari sebab itu diputuskan supaya mereka diambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Ride Bersekutu di Dataran Puncak Alam, Kuala Selangor, hari ini.

Abdul Hamid berkata, beliau terkilan kerana ada lagi pihak mengaitkan tangkapan berkenaan dengan politik sama ada pro atau kontra kepada kerajaan.

“Saya tidak ada kaitan dengan politik atau tekanan daripada sesiapa supaya melakukan tangkapan atau tidak tangkap. Saya tidak terbabit dan saya tidak buat keputusan sesuka hati.

“Saya yakin tindakan diambil ada bukti cukup dan saya beri jaminan tidak tangkap semberono,” katanya.

Menurutnya, dia juga memberi jaminan hak tahanan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan dipelihara.

“Mereka diberi hak mendapatkan khidmat peguam dan keluarga dibenarkan melawat serta tempat tahanan dipasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk tidak beri ruang mereka diseksa.

“Setiap pergerakan akan dicatat dalam buku rasmi, saya tidak mahu biarkan perkara ini (seksaan) berlaku dan mereka ada hak. Sekiranya mereka yakin tidak bersalah, mereka ada hak untuk membawa isu ini ke mahkamah, saya juga akan pastikan mereka keluar dari Mahkamah dalam keadaan sihat,” katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 11:18am
d