mutakhir

TaHa@U anjur karnival kerjaya, dekati graduan

Oleh Nur Lela Zulkipli

BAGI menyuntik kesedaran kepada bakal graduan menyiapkan diri sebelum memasuki bidang kerjaya, Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan karnival kerjaya di Universiti Teknologi MARA (UiTM), hari ini.

Pameran Kerjaya TaHa@U-Get Hired 2019 itu juga memberi pendedahan kepada penuntut universiti awam dan swasta dalam penulisan resume yang efektif, petua ketika temu duga dan bengkel pengurusan kewangan peribadi.

Pengurus Besar Simpanan dan Pengeluaran TH, Mohd Rizuan Wahi berkata, pihaknya melalui Kelab TaHa@U komited membangunkan modal insan yang berwawasan dan berkualiti melalui pelbagai program bermanfaat.

“Karnival kerjaya dianjurkan dapat dijadikan platform bagi TaHa@U bertemu generasi muda yang bakal menjadi pelapis negara.

“Melalui Taha@U juga, kita bukan saja mahu melahirkan penuntut cemerlang dalam akademik tetapi juga mempunyai kekuatan rohani dan berkeperibadian mulia,” katanya pada Majlis Perasmian Pameran Kerjaya TaHa@U-Get Hired 2019 di UiTM Puncak Alam, hari ini.

Turut hadir Rektor UiTM Puncak Alam, Prof Datuk Dr Abu Bakar Abdul Majeed.

Program sehari dikendalikan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara UiTM turut menawarkan lebih 50 peluang pekerjaan membabitkan 15 majikan daripada sektor swasta dan menjangkakan kehadiran lebih 500 pengunjung.

Antara 15 syarikat terbabit adalah Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank, TH Travel, Physiomobile dan banyak lagi.

Selain itu, pengunjung berpeluang menikmati rawatan asas fisioterapi secara percuma ditawarkan Physiomobile cawangan Shah Alam.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 1:50pm
d