mutakhir

'Kena rajin'

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Gambar Mohd Fadli Hamzah

Putrajaya: Biarpun cuaca hujan lebat, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak melepas peluang untuk meluangkan masa mengunjungi Karnival Usahawan Desa Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KUD@KPLB Putrajaya 2019) di sini, hari ini.

Beliau tiba di lokasi penganjuran di perkarangan Istana Kehakiman, Presint 3 kira-kira 4 petang dengan memandu sendiri Proton X70.

Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan timbalannya, R Sivarasa.

Dr Mahathir meluang masa kira-kira 90 minit melawat reruai malah sempat mencuba beberapa produk makanan termasuk keropok lekor dihasilkan usahawan tempatan selain memuji kesedapannya.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita, beliau berkata, karnival berkenaan adalah platform kepada usahawan luar bandar untuk menjana pendapatan mereka.

“Kita nampak bagi sesiapa yang rajin, peluang untuk dapat duit banyak ada, cara-cara ditunjuk di sini.

“Saya harap semua akan berusaha kerana kita punya hasrat ialah supaya orang di kampung juga dapat sama dengan orang di bandar.

“Tetapi kalau orang di kampung tak buat apa, dia tak dapatlah. Dia kena rajin,” katanya di Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, usahawan luar bandar juga boleh menaik taraf produktiviti produk seiring perkembangan teknologi moden sekaligus meningkatkan pendapatan.

“Banyak barang di karnival di sini yang boleh dibuat (menggunakan) mesin pun ada, kalau nak buat banyak-banyak pakai mesin.

“Jadi kita kena menaik taraf majukan kita punya industri dengan menggunakan mesin. Mesin pun tak berapa mahal, saya ingat yang murah-murah pun ada.

“Jadi dengan itu, orang kampung akan dapat tambah pendapatan mereka dan tidak lagi ketinggalan berbanding orang bandar,” katanya.

Karnival Usahawan Desa Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KUD@KPLB Putrajaya 2019) diadakan lima hari bermula 17 hingga 21 Oktober di perkarangan Istana Kehakiman Presint 3, Putrajaya.

Dua juta pengunjung disasarkan sepanjang lima hari karnival berkenaan dengan jumlah keseluruhan jualan RM40 juta.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 8:00pm
d