mutakhir

Padah guna bom tangkap ikan

Oleh Norasikin Daineh

SEBANYAK 250 kilogram (kg) ikan disyaki ditangkap menggunakan kaedah bom bersama tiga botol mengandungi serbuk putih disyaki peralatan untuk membuat bahan letupan berjaya dirampas sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Gaya, kelmarin.

Dalam kejadian 6.40 petang, beberapa kru bot nelayan terjun ke laut bagi mengelak daripada ditahan selepas bot peronda menghampiri bot mereka.

Pengarah APMM Sabah Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, rampasan dibuat ketika sepasukan anggotanya menjalankan rondaan Operasi Naga Timur di perairan Kota Kinabalu.

“Ketika rondaan dibuat, terdapat sebuah bot kayu tanpa nombor pendaftaran dilihat dalam keadaan mencurigakan dan sebaik dihampiri, beberapa individu dari bot berkenaan bertindak terjun ke laut lalu berenang ke arah daratan yang terdekat.

“Hasil pemeriksaan di bot itu menemui tiga botol minuman plastik yang mengandungi serbuk putih disyaki peralatan yang digunakan untuk

membuat bom ikan, peralatan menyelam dan 250 kg ikan pelbagai jenis yang dipercayai di bom,” katanya dalam satu kenyataan media di Kota Kinabalu, semalam.

Katanya lagi, bot berkenaan dibawa ke Jeti Maritim di Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya sentiasa melakukan risikan dan pemantauan untuk mengekang sebarang aktiviti mengebom ikan dan pencerobohan bot nelayan asing yang mengaut hasil laut negara.

“APMM tidak akan berkompromi dengan pihak atau individu yang mendalangi aktiviti pengeboman ikan dan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara ini.

“Selain itu, bot nelayan tempatan yang didapati melanggar undang-undang Maritim juga akan diambil tindakan,” katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 9:17pm
d