mutakhir

Gamat maskot Baw

Oleh Hamizah Badiran

MERIAH dan gamat! Itu suasana yang dirasai ketika menghadiri Majlis Perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD@KPLB) dengan kehadiran ribuan pengunjung membanjiri Jalan Permodenan, Pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, semalam.

Seawal jam 9 pagi pengunjung mula hadir dan menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk mengunjungi laman haiwan peliharaan dan ternakan, aspirasi seni, pameran dan jualan produk keusahawanan, menyertai pertandingan e-sukan, selera desa, trak makanan serta banyak lagi. KUD@KPLB berlangsung lima hari sejak Khamis lalu hingga esok dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.

Menampilkan penyertaan 1,000 pempamer, KUD@KPLB kali ini dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi rakaman video yang ditayangkan di pentas utama.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Rina Harun, Timbalannya Sivarasa K Rasiah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Menurut Dr Mahathir, karnival itu bertujuan memperkenal kepelbagaian industri desa yang pada masa sekarang mencapai mutu tinggi dan sepatutnya mendapat sokongan daripada masyarakat umum.

“Seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang dilancarkan baru-baru ini, tindakan KPLB menjadikan bidang keusahawanan antara satu teras dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030 adalah langkah tepat bagi memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat luar bandar khususnya kepada wanita dan belia.

“Namun, ia hanya akan berhasil jika usaha ini disambut baik oleh mereka yang menjadi kumpulan sasar dasar ini.

“Kerajaan juga melihat bahawa bidang keusahawanan terbukti berkesan untuk membangunkan sosio ekonomi masyarakat luar bandar, seterusnya dapat meningkatkan pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan yang pasti pada akhirnya akan menyumbang kepada usaha merapatkan jurang pendapatan isi rumah antara luar bandar dengan bandar, ” katanya.

Rina pula berkata, KUD@KPLB adalah kemuncak dan penutup program KUD bagi tahun ini khusus untuk membantu usahawan desa serta luar bandar memasarkan produk mereka dengan lebih meluas.

Terdahulu, KUD@KPLB turut diadakan di Zon Utara, Zon Timur dan Zon Sabah di mana tiga siri itu mengumpulkan 876 pempamer dengan nilai jualan dan tempahan RM5.28 juta manakala menarik 190,935 pengunjung.

“Selama dua hari penganjuran KUD@KPLB Putrajaya ini, jualan dicatatkan mencecah RM14.74 juta dan saya percaya, berbaki beberapa hari lagi sasaran jualan RM40 juta dapat dicapai.

“Sehingga kini, ada lebih 84,000 usahawan di bawah KPLB yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan daripada perusahaan kecil-kecilan bagi menyara keluarga sehingga dalam skala yang besar.

“Ramai antara mereka juga berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan ia menjadi kebanggaan bagi pihak kementerian dalam melahirkan lebih ramai usahawan Rural to Global,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan.

Tambahnya, kementerian turut menyedari pelbagai cabaran yang perlu dihadapi usahawan luar bandar antaranya faktor modal, pemasaran produk, rantaian bekalan dan aspek inovasi serta penggunaan mesin dalam mengembangkan perniagaan mereka.

Justeru katanya, kementerian sentiasa mencuba sedaya mungkin menyediakan pelbagai inisiatif dan kemudahan termasuk pembiayaan serta akan melakukan tambah baik ekosistem keusahawanan sedia ada.

Sementara itu, Dr Mahathir yang berkesempatan turun padang pada sebelah petang tidak melepaskan peluang melawat beberapa gerai pameran di situ sambil ditemani Rina dan tetamu kehormat lain.

Antara yang mencuri perhatian pastinya kemunculan maskot baharu KUD@KPLB iaitu Encik Baw dan Mek Baw (kerbau) yang menceriakan suasana serta menarik perhatian ramai kanak-kanak.

Pengunjung juga tidak perlu khuatir kerana langkah tertentu sudah diambil penganjur termasuk menyediakan laluan berbumbung dan khemah berhawa dingin bagi memastikan keselesaan mereka sepanjang lima hari penganjurannya.

Usaha itu diambil selepas melihat keadaan cuaca pada sebelah petang yang sering hujan, justeru KPLB mengambil langkah dengan sediakan laluan berbumbung yang menghubungkan antara khemah pameran dan jualan.

Malah gerai pameran dan jualan juga diletakkan di bawah khemah selain perkhidmatan bas shuttle turut disediakan.

Oleh itu, pengunjung jangan risau sebaliknya datang beramai-ramai ke KUD@KPLB Putrajaya kerana pelbagai produk, program dan pameran ditawarkan istimewa buat mereka.

Selain itu, buat julung kalinya KUD@KPLB memperkenalkan konsep baharu pameran program keusahawanan menerusi Kapsul Usahawan@KPLB.

Kapsul Usahawan @KPLB adalah cubaan memberi kelainan kepada segmen pameran KUD di mana pengunjung bukan sahaja boleh melihat, mendengar atau membaca kandungan bahan pameran, tetapi juga mampu berinteraksi dengan bahan berbentuk interaktif ketika berada di dalam kapsul berkenaan.

Tidak ketinggalan, persembahan artis popular seperti Siti Nordiana, Wany Hasrita, Caliph Buskers, Hazama, Haqiem Rusli, Stacy, Akem & Majistret dan boleh disaksikan secara percuma.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 6:16am
d