mutakhir

Nak jaga teman wanita, konon...

Oleh Zuliaty Zulkiffli

ALASAN lelaki untuk menemani teman wanitanya bermalam di sebuah bilik hotel di Pekan Jitra, di Jitra, bagi memudahkan mereka ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar tidak menjadi apabila mereka dicekup berkhalwat semalam.

Wanita berusia 20 tahun yang menetap di Pendang itu dikatakan hendak menjalani rawatan di HSB berikutan kakinya yang cedera selepas terbabit dalam kemalangan sebelum ini.

Lelaki berusia 21 tahun yang berasal dari pekan ini pula memberi alasan itu untuk mengelak dari dicekup pihak berkuasa, namun gagal.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, jarak Pendang ke Alor Setar lebih dekat dari Jitra dan tidak masuk akal apabila mereka sanggup bermalam di situ untuk ke hospital berkenaan.

Beliau berkata, mereka dicekup jam 11.40 malam oleh sepasukan anggota penguat kuasa JAIK dalam operasi di sekitar daerah ini.

“Ketika dicekup, lelaki itu ditemui berseluar pendek tanpa baju, manakala wanita itu memakai kemeja-T serta berseluar pendek dan berselimut di atas katil.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang ikatan sah suami isteri atau mempunyai hubungan mahram menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Radzi berkata, pasangan itu dibawa ke Balai Polis Jitra untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pasangan itu dibebaskan dengan jaminan keluarga dan diberi tarikh untuk menghadiri perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkurung tanpa sebarang ikatan sehingga mendatangkan syak kepada orang ramai.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 8:50am
d