mutakhir

Maut dipanah petir

Oleh Khalid Latip

PEKERJA Indonesia meninggal dunia akibat dipanah petir di ladang majikannya dekat Sungai Endot Kabong, Saratok, semalam.

Mangsa hanya dikenali sebagai Sumarno, 35, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan lanjut di Klinik Kesihatan Kabong.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superitendan Mordani Tanin berkata, insiden 4.35 petang itu ketika mangsa bersama beberapa rakannya meracun rumput di ladang tembikai milik majikannya.

“Ketika kejadian, cuaca mendung dengan petir dan guruh. Rakan mangsa menyedari kejadian selepas mangsa rebah disambar petir. Mereka bergegas membantu mangsa.

“Mangsa dilaporkan pengsan dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kabong bagi rawatan kecemasan. Tetapi mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di klinik kesihatan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Seratok untuk proses bedah siasat.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Difahamkan mangsa yang berasal dari Boyolali, Jawa Tengah Indonesia sudah berkeluarga dan mempunyai dua anak.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 12:05pm
d