mutakhir

'Tonto' pun kena cekup[METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

SATU sindiket penyeludupan dikesan menggunakan ‘tonto’ untuk mengiringi lori lima tan membawa muatan rokok bernilai RM2 juta di Johor Bahru, semalam.

Ia dikesan selepas kedua-dua kenderaan itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman di Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Johor Bahru.

Pemangku Komander PPM Wilayah Dua Johor, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, hasil pemeriksaan mendapati 221 kotak besar berwarna coklat dibalut plastik putih lut sinar di bahagian belakang lori terbabit.

“Setiap kotak itu mengandungi 11,050 karton rokok bersamaan 110,500 paket rokok.

“Kita kemudian menahan pemandu lori berusia 40 tahun dan pemandu kereta berusia 38 tahun. Kedua-duanya warga tempatan,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Marin (PULAMAR) di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan nilai rokok berkenaan dianggarkan lebih RM2.06 juta termasuk cukai, manakala rampasan kenderaan kira-kira RM80,000.

Katanya, semua rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan kita masih menyiasat sumber rokok berkenaan, namun percaya ia untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya.

Pada masa sama, Noor Azman berkata, pihaknya sentiasa komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan penjualan rokok tidak sah.

“Operasi terhadap penyeludupan dan penjualan rokok tidak sah ini akan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 1:13pm
d