mutakhir

Changkat Jong masih banjir

Oleh Muhammad Apendy Issahak

HANYA daerah Hilir Perak masih dilanda banjir, hari ini dan daerah lain yang sebelum ini terjejas sudah pulih.

Terbaharu, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Klah Baru, Sungkai ditutup, 12 tegah hari tadi.

JurucakapSekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Perak dalam satu kenyataan, hari ini berkata, banjir di daerah Batang Padang itu sudah surut sepenuhnya hari ini dan kesemua penduduk terjejas dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

PPS berkenaan dibuka 11.30 malam Khamis lalu selepas hujan lebat berterusan selama beberapa jam mengakibatkan Sungai Klah melimpah dan membanjiri kawasan berhampiran.

Menurutnya, ketika ini hanya ada satu PPS yang masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan, dalam daerah Hilir Perak dengan menempatkan 219 penduduk membabitkan 61 keluarga.

“PPS SK Changkat Jong dibuka sejak 11 malam Jumaat lalu dan kini menempatkan penduduk terjejas membabitkan lelaki (52), wanita (63), kanak-kanak lelaki (56) dan kanak-kanak perempuan (48).

“Seramai 38 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi memantau keadaan di lokasi banjir di Hilir Perak ketika ini,” katanya.

Banjir di daerah itu membabitkan Kampung Batu 9, Batu 7, Batu 8, Lorong Mesra Batu 7 1/2, Batu 8 (Lorong Sidang Osman) dan Batu 8 (belakang Klinik Desa).

Hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di negeri ini sejak awal minggu ini mengakibatkan beberapa daerah dilanda banjir iaitu Sungai Siput, Batang Padang, Hulu Perak, Larut Matang Selama dan Hilir Perak.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 1:42pm
d