mutakhir

59 diberkas dalam 19 serbuan

Oleh Norasikin Daineh

SERAMAI 59 individu terbabit dalam penyalahgunaan dadah dicekup melalui 19 serbuan yang dilakukan di sekitar daerah Kota Kinabalu sepanjang tempoh tujuh hari operasi dilaksanakan.

Operasi yang bermula sejak 12 Oktober sehingga Jumaat lalu itu turut merampas 6.51 gram dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi dilaksanakan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini.

“Sebanyak 19 serbuan dilakukan di beberapa lokasi termasuk Kampung Cenderamata, Kampung Kandang Ayam dan Kampung Lokub menerusi Ops Sarang.

“Hasil operasi berjaya menahan seramai 59 individu berusia antara 16 hingga 59 tahun dan turut dirampas syabu sebanyak 6.51 gram yang dianggarkan bernilai RM325.50 mengikut harga pasaran,” katanya dalam satu kenyataan media, di Kota Kinabalu, semalam.

Katanya lagi, semua individu ditahan mengikut kesalahan masing-masing iaitu dibawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Seorang daripadanya ditahan membabitkan kategori bekalan dan pengedaran dadah, 15 lagi ditahan memiliki dadah dan 43 orang didapati ujian air kencing positif dadah,” katanya.

Habibi berkata, usaha untuk membanteras kegiatan itu diperhebat dari semasa ke semasa demi menjaga kesejahteraan warga bandar raya ini.

“Bagi mempertingkatkan lagi usaha ini, kerjasama daripada orang awam juga diperlukan dengan memberikan maklumat kepada polis berhubung sebarang kegiatan menyalahi undang-undang di sekitar kawasan masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 1:46pm
d