mutakhir

Trauma ditipu lebih sakit [METROTV]

Oleh Hasbi Sidek

SEBANYAK RM42 juta kerugian bagi kes penipuan membabitkan pelbagai scam di Negeri Sembilan, sehingga September lalu.

Ketua Polisnya Datuk Mohamad Mat Yusof berkata, jumlah itu juga meningkat berbanding tahun sebelumnya dan disifatkan jenayah paling ‘bahaya’ meskipun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa.

Katanya, ada mangsa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit dan mengalami trauma.

“Dalam kes seperti kecurian motosikal, mangsa rugi kira-kira RM5,000 tetapi boleh menuntut pampasan insurans, namun dalam kes penipuan terutama Macau Scam, mangsa tidak akan mendapat kembali wang mereka walaupun suspek ditahan.

“Kes begini, mangsa tidak cedera seperti kes ragut yang boleh diubati dan sembuh dalam masa seminggu, sebaliknya mereka trauma sehingga berbulan-bulan.

“Jadi, pihak polis memberi tumpuan terhadap pencegahan kes penipuan yang setakat September lalu nilai kerugiannya sudah RM42 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Town Hall Diskusi Pencegahan Jenayah Tanggungjawab Bersama, Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Negeri Sembilan (NCCIM) di Seremban, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sembilan Salasiah Hashim dan Pengarah Perancang Bandar Majlis Daerah Seremban (MPS), Daud Ahmad.

Mohamad berkata, program itu satu platform dalam melestarikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat yang bertujuan menyelami permasalahan jenayah serta pelbagai urusan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.

“Program ini juga menjadi medium untuk menggalakkan hubungan baik antara agensi kerajaan bersama masyarakat dalam mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih berkesan,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 3:31pm
d