mutakhir

DBKL panggil IKRAM esok [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memanggil Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bagi memutuskan tahap keselamatan Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Tun Razak, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nur Hisham A Dahlan berkata, dalam pertemuan penduduk hari ini, mereka meluahkan rasa bimbang ekoran terdapat retakan di beberapa unit flat.

Menurutnya, penduduk mendakwa retakan itu berpunca daripada banjir, baru-baru ini.

“Esok kita akan panggil IKRAM. Memang bangunan nampak macam ‘okay’ tapi kita kita pastikan ia benar-benar selamat demi keselamatan penduduk.

“Selain itu, DBKL juga akan melakukan kerja-kerja pembaikan di jalan-jalan yang merekah sehingga berlakunya mendapan dan juga berlubang bermula esok,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan di flat berkenaan, hari ini.

Nur Hisham berkata, terdapat kemungkinan banjir yang berlaku berpunca daripada projek menambah baik dan pembesaran rancangan tebatan banjir bersebelahan flat berkenaan.

“Bagi menyelesaikan masalah banjir pula, kita meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meletakkan pam sementara yang lebih besar di kawasan itu,” katanya.

Dalam pada itu, setiausaha flat berkenaan, Zamzuri Mohamad, 52, berkata, dia berharap projek tebatan banjir itu siap secepat mungkin sebagai penyelesaian jangka panjang.

“Apabila hujan, semua penduduk di sini yang tinggal di tingkat bawah cemas. Rumah pam sedia ada tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

“Buat sementara, penambahan pam adalah penyelesaian yang paling baik untuk menyelesaikan masalah ini dah kita harap ia dilakukan secepat mungkin memandangkan musim hujan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Noraziah Abdul Manan, 55, berkata, dia lega apabila mendengar penyelesaian oleh DBKL bersama agensi kerajaan yang lain itu.

“Selepas banjir pada 1 Oktober lalu rumah saya mula retak. Pada mulanya, ia hanya sekadar retakan kecil namun ia semakin besar selepas banjir pada Khamis lalu.

“Disebabkan banjir itu juga, jalan di hadapan rumah kami mendap sehingga berlubang. Malah, cucu saya berusia tiga tahun pernah terjatuh dalam lubang berkenaan,” katanya yang sudah tinggal di flat berkenaan sejak 48 tahun yang lalu.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 3:49pm
d