mutakhir

Pil kuda RM2.7 juta dalam kereta [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 270,000 biji pil kuda bernilai RM2.7 juta yang ditinggalkan dalam kereta.

Rampasan itu dibuat oleh pasukan JKDM cawangan penguatkuasaan Rantau Panjang, 12.30 tengah hari, Rabu lalu menerusi Op Sinar terhadap kereta bernombor pendaftaran Thailand yang ditinggalkan di bahu jalan di Kota Bharu.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Rakbi Mat Saud, berkata kereta itu ditinggalkan di tepi jalan di Wakaf Che Yeh sejak awal pagi dan anggotanya menunggu selama enam jam namun tiada individu yang tampil.

“Hasil pemeriksaan mendapati 45 bungkusan berwarna kuning dipercayai berisi dadah jenis pil kuda yang disembunyikan dalam but belakang yang diubahsuai.

“Kita percaya pemandu kereta berkenaan sudah dapat menghidu kehadiran pihak berkuasa menyebabkan dia melarikan diri dan meninggalkan kenderaan terbabit,” katanya ketika sidang media di pejabat penguatkuasaan JKDM Rantau Panjang, hari ini.

Mohd Rakbi berkata, dadah itu dipercayai dibawa untuk pasaran Kelantan.

Menurutnya, rampasan itu hasil pemantauan serta risikan yang berterusan oleh pihaknya terhadap kenderaan yang tidak mempunyai dokumen sah di sepanjang sempadan.

“Seperti kereta itu, ia didapati tiada dokumen sah dan dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kelantan untuk tindakan dan pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati,” katanya.

Beliau berkata, JKDM akan sentiasa mempertingkatkan operasi bagi membendung kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan menyimpan, memiliki dan mengangkut barang larangan serta barang seludup, dimohon untuk melaporkan terus kepada JKDM melalui talian aduan penyeludupan 1-800-88-8855 atau 09-7411100.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 3:59pm
d