mutakhir

Tempoh 70 hari bina loji biogas

Oleh BERNAMA

JABATAN Alam Sekitar (JAS) bersetuju untuk membenarkan kilang pemprosesan kelapa sawit dekat Tangkak yang digantung lesen, beroperasi buat sementara waktu mengikut tempoh ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan , Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor Tan Chen Choon berkata, kilang di bawah syarikat Mestika Sdn Bhd yang terletak di sempadan Jementah-Kebun Bahru itu, mengemukakan permohonan pengoperasian sementara pada 15 Oktober lalu.

Katanya, permohonan itu dilakukan bagi menghasilkan efluen, seterusnya mengaktifkan sekali gus menyiapkan kelengkapan bagi pembinaan loji biogas.

Menurutnya, pembinaan loji biogas di premis itu bagi menyelesaikan masalah pencemaran udara yang menjejaskan kesejahteraan masyarakat setempat.

“JAS sudah meneliti permohonan berkenaan dan bersetuju untuk membenarkan operasi sementara kepadanya selama 70 hari bermula 22 Oktober hingga 30 Disember.

“Kebenaran ini diberikan berdasarkan surat aku janji bertarikh 9 September lalu yang dikemukakan oleh kontraktor lantikan iaitu Red Palm Gas Sdn Bhd,” katanya menerusi kenyataan di Johor Bahru, hari ini.

Tan berkata, beliau sudah mengarahkan pihak JAS untuk memantau rapi kerja-kerja pembangunan loji biogas sepanjang tempoh operasi sementara berkenaan.

“Langkah tersebut diambil sebagai memastikan kerja-kerja yang dinyatakan berkenaan dijalankan mengikut prosedur dan siap mengikut tempoh masa ditetapkan,” katanya.

Untuk rekod, lesen operasi syarikat berkenaan digantung JAS selama tiga bulan sejak September sehingga 18 Disember kerana didakwa menyebabkan pencemaran udara di kawasan sekitar.

Sementara itu Tan berkata, aku janji itu antaranya adalah melaksanakan proses kemasukan efluen ke dalam kolam biogas dalam tempoh 40 hari dan seterusnya proses menutup permukaan kolam biogas dengan lapisan membran dalam tempoh 30 hari.

“Selain itu, mereka juga perlu menyiapkan kerja-kerja pembinaan tangki pencampuran, sistem suar dan lain-lain kerja berkaitan di dalam tempoh kebenaran operasi sementara terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 6:33pm
d