mutakhir

Rampas 885 kg daun ketum

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Dalam tempoh 13 hari, 885 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM132,750 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 Ulu Kinta, Perak, dalam Op Wawasan Kedah/Perlis.

Timbalan Komander PGA Briged Utara, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata, sehingga 13 Oktober lalu, pihaknya berjaya merampas daun ketum dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Perlis.

“Pertama, pada 8 Oktober, serbuan dilakukan anggota PGA di pondok kosong di Felda Mata Ayer, Padang Besar (Perlis) menemui sembilan guni daun ketum seberat 270 kg. Nilai rampasan sebanyak RM40,500.

“Kedua, pada 11 Oktober, PGA menahan satu kereta yang didapati dalam keadaan mencurigakan sekitar kawasan Kampung Melayu, Padang Besar. Pemandu kenderaan itu berjaya melarikan diri namun pemeriksaan lanjut menemui 13 guni daun ketum seberat 455 kg dianggarkan bernilai RM68,250. Kenderaan milik suspek juga disita.

“Terbaru pada 13 Oktober, PGA menemui empat guni daun ketum seberat 160 kg dianggarkan bernilai RM24,000 ditinggalkan di kawasan ladang sawit di Chuping Perlis,” katanya.

Mohamed Rafiq berkata, PGA memandang serius aktiviti jenayah rentas sempadan yang berlaku dan disebabkan itu, pihaknya meningkatkan pemantauan dan kawalan di kawasan berisiko.

“Kita tidak akan berkompromi dalam isu ini. Pemantauan akan diteruskan bersama siri serbuan bagi membanteras kumpulan sindiket terbabit. PGA memang serius, buktinya sejak Op Wawasan Kedah/Perlis (dilancarkan) lebih RM1 juta rampasan membabitkan daun ketum sudah dilakukan,” katanya.

Pada 1 Oktober lalu, Mohamed Rafiq dalam sidang media di Markas Taktikal PGA Bukit Kayu Hitam, Kedah mengumumkan kejayaan pihaknya merampas 6.3 tan daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM1 juta biarpun baru melancarkan Op Wawasan Kedah/Perlis, bermula 27 Ogos lalu.

Katanya, kebanyakan ketum terbabit dikesan ditinggalkan penyeludup di kawasan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand yang dijadikan lokasi transit sebelum diambil pihak ketiga.

"Cara ini adalah bagi mengelak ahli sindiket dikesan pihak berkuasa sementara menunggu peluang mengambil bungkusan berkenaan untuk diseludup ke negara jiran. Rampasan daun ketum paling banyak dibuat di sekitar Perlis dengan hampir semua daun ini dipercayai ditanam di Kedah," katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 7:10pm
d