mutakhir

Tempa nama MBOR, doodle tanpa henti

Lakaran contengan dengan motif tertentu menggunakan peralatan pena itu dibuat di atas 10 bongkah bersaiz 1.5 meter tinggi dan 1.2 meter lebar oleh lapan pelukis doodle daripada komuniti dikenali Doodict.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Rekabentuk Malaysia Abdul Rahman Mohd Saad berkata, idea itu dicetuskan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun sebagai antara kelainan yang harus dilaksanakan pada karnival dwitahunan itu.

“Sebab itu kita putuskan untuk bekerjasama dengan Doodict, komuniti yang terkenal dengan seni doodle yang menjadi perhatian generasi muda ketika ini.

“Bersempena KUD, kita tetapkan doodle yang dihasilkan mestilah berkaitan dengan aktiviti dan elemen keusahawanan yang berlangsung sepanjang lima hari karnival,” katanya selepas majlis penyerahan MBOR itu di Putrajaya, hari ini.

Disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus, sijil tersebut diserahkan Pengurus Operasi Kajian dan Pemasaran MBOR Edwin Yeoh kepada Abdul Rahman.

Abdul Rahman berkata, beliau bangga dengan komitmen pelukis yang komited menyelesaikan lukisan bermula dari 3 petang semalam hingga contengan berakhir 3 pagi, walaupun berdepan hujan.

Sementara itu, Pengasas Doodict Muhamad Hizami Musa berkata, komuniti itu bangga atas kepercayaan yang diberikan sekali gus memberi ruang untuk mereka mengetengahkan bakat dan mempromosi kewujudan aktiviti doodle kepada masyarakat.

Katanya, komuniti yang ditubuhkan pada 2013 itu mempunyai 70 pelukis dengan lapan orang terlibat dalam projek MBOR, dipilih berdasarkan teknik lukisan yang dimiliki bersesuaian tema ditetapkan.

“Sebelum mula melukis, kami membuat persiapan dari sudut tema yang dikehendaki, tidur cukup dan kuatkan mental untuk berdepan keadaan cuaca kerana aktiviti berlangsung di tempat terbuka,” katanya.

Muhamad Hizami berkata, motif doodle berkisarkan aktiviti yang berlangsung di KUD@KPLB dengan elemen luar bandar, antaranya makanan tradisional, fesyen dan tekstil tradisional, serta pertanian.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 7:54pm
d