mutakhir

Malaysia hampir bankrap sebab 1MDB - PM [METROTV]

Oleh BERNAMA

TUN Dr Mahathir Mohamad, hari ini berkata, hampir suatu keajaiban Malaysia tidak bankrap akibat kerosakan yang dilakukan rejim terdahulu, yang menjadikan tabung negara sebagai milik peribadi.

Perdana Menteri berkata, kerosakan itu bukan sahaja berkaitan kewangan tetapi juga institusi.

“Salah satu daripada cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim kleptokratik itu ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan membina semula negara,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’, di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir berkata, ia akan mengambil banyak usaha, masa dan kewangan, sambil menambah “apa yang kami temui adalah jauh lebih teruk daripada apa yang kami percaya”.

“Tidak dinafikan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) satu monstrositi, kita tidak akan dapat menilai sepenuhnya, kerosakan yang disebabkannya kepada negara,” katanya.

Melebihi rasuah dan tipu helah kewangan, perdana menteri berkata, seluruh jentera kerajaan sudah disubversif dan dilemahkan.

Katanya, sejumlah besar pendapatan kerajaan kini perlu digunakan untuk membayar hutang dan jumlah yang tinggal tidak mencukupi untuk operasi dan pembangunan.

“Ia hampir suatu keajaiban yang negara ini tidak bankrap,” katanya.

Katanya, bagi memulih dan membangunkan negara, jentera kerajaan perlu dipulihkan dan efisien.

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 12:02pm
d