mutakhir

'Pastikan Malaysia tak dipengaruhi ideologi China'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

MALAYSIA akan tetap meneruskan kerjasama perdagangan dan diplomatik dengan China termasuk menyokong inisiatif ‘Belt and Road’ (BRI) namun, pada masa sama memastikan negara tidak dipengaruhi oleh republik berkenaan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, malah sikap perkauman yang dipegang masih menebal.

Justeru, beliau tidak mahu rakyat fikir negara ini akan dipengaruhi oleh China.

Beliau berkata, kerajaan mahu meneruskan kerjasama baik dengan China serta menyokong idea BRI yang di bawa negara itu.

“Kita perlu mencari apa maksud sebenar di sebalik inisiatif (BRI) berkenaan. Kita tidak boleh menerima idea berkenaan 100 peratus tanpa kajian teliti.

“Kita percaya China mempunyai pengaruh kuat pada masa depan. Namun, buat masa ini bukan masanya untuk kita promosikan idealogi China sebaliknya mencari jalan bagaimana negara boleh mendapat manfaat lain daripada kerjasama itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan ISIS Praxis, ‘Malaysia Beyond 2020’ anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, Malaysia selama ini menganggap China sebagai rakan, kecuali pada satu tempoh pada awal kemerdekaan negara yang mana China pada ketika itu mengamalkan idealogi komunis.

Dr Mahathir berkata, buat masa ini, China sudah menggunapakai polisi baharu yang mana ia memberi manfaat yang baik kepada republik berkenaan.

“Generasi muda negara juga perlu faham polisi dan strategi di bawa Malaysia ketika ini sebelum boleh menerima apa-apa polisi di bawa negara lain.

“Sebagaimana kita tidak mahu budaya barat meresap ke dalam sistem persekolahan kita, begitu juga kita tidak mahu negara lain mempengaruhi anak muda negara ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam ucaptamanya berkata, seperti satu keajaiban apabila Malaysia tidak bankrap akibat kerosakan kewangan dan tadbir urus dilakukan pemerintahan terdahulu.

Menurutnya, beliau akui cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim kleptokratik adalah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan membabitkan kewangan dan pengurusan institusi.

“Ia (usaha pembersihan) akan mengambil banyak masa dan kewangan. Tidak dinafikan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah satu kesilapan besar malah, kita juga tidak dapat menilai sepenuhnya kerosakan dialami negara akibat 1MDB.

“Disebabkan itu, sejumlah besar pendapatan kerajaan kini perlu digunakan untuk membayar hutang dan jumlah yang tinggal tidak mencukupi untuk operasi dan pembangunan,” katanya.

Katanya, jentera kerajaan perlu dipulihkan terlebih dahulu sebelum negara dapat dibangunkan.

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 1:31pm
d