mutakhir

142 bekas banduan dapat kerja

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 142 bekas banduan Penjara Kajang berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi Program Penempatan Semula bagi tempoh pertengahan April hingga 19 Oktober lalu.

Pengarah Penjara Kajang Abdul Halim Ma-Hasan berkata, program berkenaan diperkenalkan sejak pertengahan April lalu membabitkan tiga institusi penjara iaitu Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Penjara Seremban.

“Di Penjara Kajang, sebanyak 14 syarikat swasta dan lima NGO berkerjasama dengan kami bagi menyediakan pekerjaan kepada bekas banduan secara sukarela bagi membolehkan mereka kembali kepada masyarakat di jalan yang betul.

“Tiada kuota khusus penempatan ditetapkan bagi semua bekas banduan yang ditempatkan di pelbagai sektor terutama pertanian dan pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan sempena Bulan Sukan Negara Peringkat Unit Rawatan dan Pemulihan Dadah di Penjara Kajang, Kajang, hari ini.

Abdul Halim berkata, penempatan pekerjaan bekas banduan dibuat berdasarkan permintaan khidmat mereka daripada pelbagai pihak.

“Ada di antara mereka sudah pun dihantar bekerja di beberapa negeri seperti Perak, Pahang dan Melaka yang memerlukan khidmat mereka.

“Malah, ada antara banduan pra bebas turut menjalani latihan pekerjaan di luar kawasan penjara sambil dipantau oleh pegawai.

“Mereka diberikan pendedahan awal bekerja dengan syarikat luar sebelum khidmat mereka diambil mana-mana pihak sebaik dibebaskan,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 2:18pm
d