mutakhir

Kawalan keselamatan elak banduan lolos

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KAWALAN keselamatan oleh pegawai penjara terhadap banduan amat ditekankan bagi memastikan tiada banduan dapat meloloskan diri.

Pengarah Penjara Kajang Abdul Halim Ma-Hasan berkata, pihaknya memberi penekanan kepada kawalan keselamatan ketika berada di dalam dan luar penjara.

“Tidak dapat dinafikan, wujud berita tular mengenai banduan lari dari penjara sebelum ini. Namun, sejak mengambil alih jawatan sebagai Pengarah Penjara Kajang sejak 2017, tiada kes banduan lari dilaporkan.

“Perkara yang penting mengenai kawalan keselamatan terhadap banduan adalah kesiapsiagaan pegawai tidak kira sama ada berada dalam kawasan penjara mahupun ketika di luar seperti mengiringi mereka (banduan) ke mahkamah atau hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Sukan Sempena Bulan Sukan Negara Peringkat Unit Rawatan dan Pemulihan Dadah di Penjara Kajang, di Kajang, hari ini.

Abdul Halim berkata, Penjara Kajang mempunyai kekuatan seramai 1,000 pegawai yang bertugas bagi mengawal banduan.

“Setakat ini, Penjara Kajang menempatkan kira-kira 5,800 banduan yang dikawal 1,000 pegawai. Justeru, saya sentiasa memberi penekanan kepada pegawai bertugas supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika melakukan kawalan.

“Sebagai contoh, sekiranya banduan itu perlu digari, maka dia perlu digari bagi mengelak mereka mengambil kesempatan dan melarikan diri terutama ketika berada di luar kawasan penjara,” katanya.

Sementara itu, seramai 1,000 banduan ditempatkan di Unit Rawatan dan Pemulihan Dadah di Penjara Kajang menyertai karnival berkenaan yang dianjurkan setiap tahun.

“Karnival ini diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada bantuan supaya mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan. Ia adalah penting bagi mengurangkan masalah penyakit dalam kalangan banduan.

“Antara sukan yang dianjurkan dalam karnival ini adalah bola sepak, sepak takraw, tarik tali dan dart,” katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 2:19pm
d