mutakhir

Pegawai FELDA tidak mengaku sembunyi RM14,788.75

Oleh Khairul Azran Hussin

PEGAWAI FELDA Sungai Tengi, Hulu Selangor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas empat tuduhan menyembunyikan pembayaran bentuk cek berjumlah RM14,788.75.

Tertuduh, Abdul Manap Sidek, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, dia didakwa dengan curangnya menyembunyikan pembayaran cek Maybank berjumlah RM14,788.75 yang sepatutnya dibayar kepada Normah Saifie dan Wan Manap Enterprise.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Pejabat FELDA Sungai Tengi, Hulu Selangor pada 18 Ogos 2017 dan pendakwaan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Michael Joimin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan antaranya perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan menanggung ibu yang sakit dan dua anak yang masih belajar.

“Gaji pokok saya hanyalah RM3,000 dan anak saya pula masih belajar di kolej. Saya juga perlu menanggung kos rawatan ibu saya,” katanya.

Hakim kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 kepada tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 26 November ini bagi tarikh pengurusan kes.

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 2:56pm
d