mutakhir

4 syarikat disenarai pendek perkukuh MAS

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

EMPAT syarikat sudah disenarai pendek kerajaan bagi memastikan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Bhd (MAS) terus bertahan dalam pasaran untuk tempoh jangka masa panjang.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau tidak boleh mendedahkan nama empat syarikat itu kerana ia termaktub di bawah perjanjian tertentu.

Beliau berkata, empat syarikat itu disenarai pendek daripada 20 pelabur berpotensi yang dipelawa untuk menjadi rakan strategik oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan syarikat induk MAS, Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB).

“Mereka (empat pelabur strategik) itu akan melalui proses penilaian ketat dan teliti.

“Kerajaan mengambil keputusan menilai semula model perniagaan MAS secara holistik supaya syarikat penerbangan itu dapat keluar daripada kemelut yang dihadapi dan bangkit sebagai sebuah syarikat berprestasi tinggi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit) mengenai dakwaan Jepun akan mengambil alih MAS dan bagaimana proses tawaran itu dibuat.

Berhubung soalan tambahan dikemukakan Alexander berhubung jangka masa selesai proses bidaan terbabit, Mohamed Azmin berkata, keputusan mengenainya akan diketahui hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Kita menjangkakan semua maklum balas akan dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah bulan depan dan satu keputusan untuk mengenal pasti rakan strategik bagi memperkukuhkan MAS dapat dibuat selepas itu,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 1:57pm
d