mutakhir

Rokok dan arak RM8.4 juta dirampas [METROTV]

Oleh Adnan Ibrahim

KENDERAAN mewah digunakan untuk memantau keadaan sebelum lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV) mengalihkan rokok serta arak seludup.

Itu modus operandi terkini sindiket penyeludupan di Johor yang dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, helah itu terbongkar apabila sepasukan Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menyerbu kilang penyimpanan rokok dan arak bernilai RM8.4 juta di Senai dan sebuah rumah di Taman Pelangi Indah dalam Ops Nyah 1 pada 20 Oktober lalu.

Timbalan Pengarah (Gerakan) Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, kejayaan itu adalah yang terbesar pasukan itu tahun ini.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan pertama dilakukan di kawasan lot kilang tidak beralamat di Jalan Kempas Lama dengan dua lelaki tempatan berusia 40-an ditahan.

“Hasil serbuan itu, kami merampas 19,250 karton rokok selain 2,052 botol arak.

“Selain itu, kami merampas masing-masing sebuah lori tiga dan enam tan, Proton Exora dan Volkswagen Scirocco yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan.

“Berpandukan keterangan suspek pada 10.30 pagi hari sama kami menyerbu sebuah rumah di Taman Bestari Indah, Ulu Tiram, sebelum menahan dua lelaki tempatan berusia 30-an,” katanya pada sidang media di Wisma Perwira Batalion 5 PGA Simpang Renggam hari ini.

Menurutnya, hasil serbuan kedua pihaknya merampas 16,500 kartun rokok dan 2,028 botol arak jenis sama, dua lori dua tan dan sebuah van Nissan Vanette.

“Kami percaya keempat-empat suspek ini bertindak sebagai ejen dan menjadikan kedua-dua lokasi serbuan sebagai gudang atau stor simpanan rokok seludup di sekitar Johor.

“Semua suspek kini ditahan reman 14 hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Kedua-dua suspek dalam tangkapan pertama dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai manakala tangkapan kedua di IPD Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 2:12pm
d