mutakhir

Tahan beberapa jam selepas mayat ditemui

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

POLIS menahan lelaki disyaki terbabit pembunuhan mekanik yang mayat diikat dan dicampak ke Tasik Paya Bungor, Gambang, Kuantan.

Ketua Polis Pahang Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan di daerah itu, beberapa jam selepas mayat mangsa ditemui, kelmarin.

“Kita percaya suspek adalah rakan kepada mangsa dan kita tahan bagi membolehkan polis menyiasat lebih lanjut.

“Motif pembunuhan masih lagi disiasat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jalinan Kasih Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Kuantan, hari ini.

Turut hadir Pengerusi PERKEP Malaysia Puan Sri Norazrin Marzuki.

Media melaporkan mangsa lelaki berusia 39 tahun ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap di kawasan tasik dipercayai sudah dua hari meninggal dunia.

Tangan dan kakinya terikat dan terdapat unsur jenayah pada fizikal mangsa.

Abd Jalil berkata, pihaknya percaya mangsa dibunuh di kawasan lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan tasik itu.

“Kita masih menunggu laporan kimia bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa. Dalam masa terdekat, kita akan terima laporan itu,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada seorang suspek terbabit kejadian itu.

“Suspek yang ditahan menjalani reman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Berita berkaitan

Mayat berikat dalam tasik mungkin dibunuh [METROTV]

Mayat dalam tasik

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 2:36pm
d