mutakhir

'MakCik Travels' pilihan Hawa

Oleh BERNAMA

WALAUPUN baru berusia setahun jagung, namun perkhidmatan teksi e-hailing, MakCik Travels yang memulakan operasi November tahun lalu mampu memberi saingan kepada pengusaha yang sudah lama wujud dalam pasaran.

Uniknya gandingan mantap ibu dan anak, Dr Sazlina Kamaralzaman dan Siti Sarah Anuar menawarkan perkhidmatan e-hailing khusus untuk kaum wanita yang mahu berasa lebih selamat apabila menggunakan pengangkutan awam.

Bermula dengan 20 pemandu, MakCik Travels kini mempunyai lebih daripada 200 pemandu dan menerima tempahan sekitar 800 setiap bulan bukan sahaja di Lembah Klang tetapi di Kedah, Perak dan Kelantan.

Bagi memberi kelainan berbanding syarikat e-hailing lain, MakCik Travels memperkenalkan perkhidmatan pengiring pada April tahun ini untuk membantu warga emas dan wanita yang sukar ke klinik, hospital atau tempat lain dengan bantuan pengiring.

Menjelang penghujung 2019, syarikat ini dijangka mempunyai 400 pemandu dan 200 pengiring di seluruh negara.

Menurut Dr Sazlina, 48, yang juga pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), idea menubuhkan MakCik Travels bermula apabila anak perempuannya, Siti Sarah, 20, yang menuntut di Kolej Vokasional Kajang menawarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan untuk penuntut wanita yang mahu ke destinasi berhampiran.

Melihatkan banyak permintaan, Sazlina kemudiannya berganding bahu dengan anak perempuannya untuk memperluaskan perkhidmatan kepada masyarakat setempat di Bangi, Selangor.

“Kami menggunakan wang simpanan RM10,000 sebagai modal dan mendaftarkan MakCik Travels,” katanya sambil menambah perkhidmatan itu kemudiannya diperluaskan meliputi Kuala Lumpur, Selangor dan negeri lain.

MakCik Travels menawarkan dua jenis perkhidmatan iaitu MakCik Drives di mana pemandu mengambil penumpang dan menghantar ke destinasinya dan MakCik Chaperone di mana seorang pengiring akan ditugaskan membantu penumpang yang memerlukan bantuan.

“Kebanyakan wanita mahu berasa selamat apabila mereka menaiki teksi atau kereta. Mereka lebih suka dan selesa dengan pemandu wanita.

“Kami dapat banyak permintaan untuk perkhidmatan pengiring terutama dalam kalangan wanita berusia yang memerlukan bantuan ke klinik, hospital atau pusat dialisis,” katanya.

Memandangkan MakCik Travels mahu memperkasakan wanita, ia menggalakkan suri rumah, ibu tunggal dan pelajar universiti yang mahu menjana pendapatan untuk diri sendiri, mendaftar sebagai pemandu serta pengiring syarikat ini. Ada pemandu yang turut mengambil peranan sebagai pengiring yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan lebih.

Sementara itu, menurut Siti Sarah, mana-mana wanita yang mahu menjadi pemandu atau pengiring akan ditemuduga dan dinilai terlebih dahulu.

“Mereka yang mahu menjadi pemandu sudah tentu perlu mempunyai lesen memandu dan kereta yang dijaga dengan baik.

“Untuk mereka yang mahu berkhidmat sebagai pengiring, kami akan memberi latihan diperlukan memandangkan kebanyakan pelanggan yang memerlukan perkhidmatan ini adalah warga tua,” tambahnya.

Mereka yang bekerja sebagai pemandu dan pengiring MakCik Travels menerima kira-kira 80 peratus daripada bayaran dibuat pemandu.

Untuk menempah pemandu atau pengiring menerusi MakCik Travels, tempahan perlu dibuat sekurang-kurangnya dua jam lebih awal sebelum waktu perkhidmatan diperlukan.

Menurut Dr Sazlina, syarikatnya merancang meningkatkan perkhidmatan dengan membangunkan aplikasi mudah alih untuk memudahkan urusan tempahan dan sistem pengesanan untuk pemandu serta pengiring bagi tujuan keselamatan.

“Aplikasi itu kini hampir 80 peratus siap dan diharap boleh digunakan menjelang penghujung tahun ini. Pelanggan boleh mendapat harga untuk perkhidmatan yang diperlukan selepas maklumat penting pelanggan dimasukkan,” katanya.

Sementara itu, Norazah Salleh, 47, dari Shah Alam yang mendaftar diri sebagai pemandu MakCik Travels pada Ogos lalu berkata, waktu kerja anjal amat bersesuaian untuk dirinya dan setakat ini, pendapatan diterima adalah memuaskan.

“Saya menerima banyak permintaan untuk memandu pelanggan dari rumah mereka ke tempat kerja. Ada kalanya juga saya menerima tempahan daripada wanita yang mahu keluar pada waktu malam dan balik lewat. Saya bersyukur dapat membantu mereka, ” katanya sambil menambah mampu memperoleh sehingga RM200 sehari.

Anak perempuannya, Nur Amirah Kamaruddin, 23, yang memiliki ijazah dalam analisis kimia forensik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah antara pengiring MakCik Travels dan salah satu tugasnya adalah menjaga seorang wanita berusia.

“Saya menemani wanita ini ke hospital kira-kira tiga kali seminggu dan mampu memperolehi RM80 sehari untuk tugas ini, ” katanya.

Nur Amirah pernah mengikuti latihan penjagaan di Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia dan banyak membantu tugasnya.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 4:20pm
d